Pegawai Perubatan Klinik As-Salam di Bandar Baru Bangi, dekat sini, Dr. Azfar Hussin, 34, berkata, perkara tersebut diberitahu oleh rakan-rakan mangsa ketika mereka membawa Zulfarhan untuk mendapatkan rawatan di klinik itu antara pukul 12 tengah hari dan 1 petang, 27 Mei 2017.

Apabila melihat keadaan luka tersebut, beliau yang juga pemilik klinik berkenaan berkata, kes tersebut tidak boleh dirawat di klinik sebaliknya perlu dirujuk ke hospital ekoran luka serius.

“Kawan pesakit (Zulfarhan) beritahu berlaku letupan ketika latihan di Port Dickson dan mereka telah mendapat rawatan di sebuah klinik di sana.

“Saya bertanya kenapa tidak terus mendapat rawatan di Port Dickson, pesakit memberitahu untuk menjaga reputasinya sebagai pelatih tentera,” katanya ketika menjawab soalan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Othman Abdullah dalam perbicaraan hari kedua berhubung kematian Zulfarhan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Dalam kes itu, enam penuntut iaitu Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd. Ali didakwa membunuh dan bersubahat membunuh Zulfarhan Osman di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei tahun lalu.

Pertuduhan terhadap mereka yang kesemua berusia 22 tahun itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 dan 109 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Mereka bersama 13 penuntut lain turut didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap mang­sa bagi maksud hendak memerasnya untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba yang dikemukakan mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Menurut Azfar, setelah selesai membuat rawatan dengan cucian di seluruh badan, beliau bertanyakan perlu atau tidak menghubungi ambulans, bagaimanapun mangsa dan rakan-rakannya memberitahu tidak perlu kerana mereka datang dengan menaiki kereta.

“Pesakit juga tidak membenarkan saya menghubungi ibu bapanya untuk memaklumkan keadaannya dengan alasan ibu sedang sakit,” katanya sambil memberitahu keadaan mangsa stabil ketika itu.

Sementara itu, seorang pakar forensik memberitahu, terdapat 90 kesan luka lecur di 80 peratus bahagian badan mangsa antaranya di kedua-dua belah punggung, tangan, betis, tengkuk, zakar dan bahagian belakang dengan melibatkan luka lecur tahap satu, dua serta tiga.

Pakar Perubatan Forensik Hospital Serdang, Dr. Salmah Arshad, 37, berkata, daripada jumlah tersebut, terdapat dua kesan lecur dalam kategori tahap satu, manakala 59 lagi dalam kategori tahap dua dan bakinya iaitu 29 pula adalah tahap tiga.

Menurut saksi pendakwaan keenam itu, luka lecur berkenaan disebabkan oleh suatu objek panas dan mempunyai corak yang spesifik iaitu corak bintik-bintik dalam susunan dua barisan dan sedikit melengkung dan seperti disebabkan tekapan seterika wap.

Perbicaraan di hadapan Ha­kim Datuk Azman Abdullah bersambung 28 Mac ini.