Dokumen-dokumen itu di­mohon oleh pasukan pem­belaan yang mewakili dua rak­yat asing, Doan Thi Huong dan Siti Aisyah, masing-masing dari Vietnam dan Indonesia yang dituduh membunuh Jong-nam iaitu abang kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Mahkamah Majistret di sini hari ini diberitahu, tiga percakapan itu dirakam oleh pihak polis sewaktu siasatan kes berprofil tinggi itu dijalankan sebelum ketiga-tiga lelaki berkenaan dibenarkan pulang ke negara asal mereka.

Pengarah Pendakwaan Ne­geri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad yang mengetuai pendakwaan berkata, pada peringkat ini dokumen berkenaan tidak wajar diserahkan kepada peguam-peguamnya dan hanya akan diberikan sewaktu perbicaraan.

Ujarnya, selain itu, pihak pendakwaan perlu mengesahkan dengan pihak polis terlebih dahulu kerana permohonan tersebut dikemukakan secara terus kepada pasukan penyiasat, bukan kepada pendakwa raya.

“Pada peringkat ini, mah­kamah tidak mempunyai bidang kuasa membenarkan per­mohonan tersebut kerana prosiding hari ini adalah untuk proses memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

“Pihak pendakwaan masih perlu mengumpul dokumen-dokumen tertentu sebelum perbicaraan dimulakan dan sebarang pertikaian atau perkara melibatkan isu undang-undang, perlu dikemukakan hujahan di Mahkamah Tinggi sewaktu perbicaraan,’’ ujar Muhammad Iskandar.

Beliau menyatakan demikian ketika memberi maklum balas terhadap aduan yang dikemukakan oleh pasukan pembelaan bahawa pihak polis tidak melayan beberapa permohonan untuk mendapatkan dokumen-dokumen penting bagi membantu kes pembelaan.

Mahkamah mendengar adu­an itu ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Harith Sham Mohamed Yasin yang bertindak sebagai Majistret dalam prosiding itu. Kes ditetapkan untuk sebutan pada 30 Mei ini.

Thi Huong, 29, dan Siti Aisyah, 25, berdepan hukuman mati mandatori mengikut Sek­syen 302 Kanun Keseksaan setelah mereka didakwa atas tuduhan bersama-sama empat lagi yang masih bebas membunuh Jong-nam di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Sebelum itu, peguam Gooi Soon Seng yang mengetuai pa­sukan pembelaan mewakili Siti Aisyah berkata, rakaman percakapan itu diperlukan kerana mereka percaya ketiga-tiga lelaki terbabit tidak akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan dan tidak ditawarkan kepada pasukan pembelaan.

Soon Seng turut berkata, polis malah tidak melayan permohonan mendapatkan rakaman percakapan anak guam mereka dan hanya berpeluang menjalankan temu bual dalam masa yang suntuk iaitu selama 45 minit walaupun permohonan untuk bertemu mereka ketika dalam tahanan telah dikemukakan berkali-kali.

Peguam itu selanjutnya mem­­buat aduan bahawa pi­haknya juga memohon dibe­kalkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di beberapa tempat berbeza selain di lapangan terbang, namun permintaan itu juga tidak dilayan.

Sementara itu, peguam Hi­syam Teh Poh Teik yang mewakili Thi Huong berkata, pihaknya juga memohon agar polis menyimpan semua gambar dan rakaman berhubung kejadian itu yang dirakam dalam telefon bimbit.

Peguam, Datuk Naran Singh yang juga mewakili rakyat Vietnam tersebut pula memohon pihak pendakwaan mendedahkan identiti empat lagi individu yang masih bebas yang disebut dalam pertuduhan agar pihak pembelaan mengetahui kaitan kedua-dua tertuduh dengan pihak yang disebut itu.

Selepas mendengar prosiding yang bermula pukul 9.17 pagi dan berakhir pukul 9.43 pagi, Harith Sham memaklumkan beliau tidak mempunyai kuasa untuk mengeluarkan sebarang perintah dan hanya akan merekodkan aduan-aduan yang dikemukakan.

Pada 16 Februari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa Kim Chol yang mempunyai dua identiti sah dari negara berkenaan, adalah Jong-nam yang juga abang kepada Jong-un.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pada 24 Februari lalu ketika mengulas siasatan kes itu berkata, bahan kimia ‘Ethyl S-2-Diisopropylaminoethyl Methylphonothiolate’ atau Agen Saraf VX telah disapu ke muka Jong-nam oleh dua orang wanita yang menghampirinya ketika sedang transit untuk menaiki penerbangan ke Macau.