Peguam Negara, Tommy Thomas berkata, hal itu susulan kerajaan negeri dan beberapa agensinya baru-baru ini mengeluarkan lesen pembalakan kepada syarikat swasta.

Beliau menjelaskan, syarikat terlibat telah memasuki tanah adat Orang Asli Temiar di Pos Simpor menggunakan jentera berat dan menebang hutan serta membawa keluar kayu balak.

"Tindakan mereka mengakibatkan Orang Asli Temiar dinafikan tanah adat dan sumber mereka sekali gus menyebabkan hakisan, pencemaran dan kemusnahan teruk terhadap sistem ekologi dan landskap hutan.

"Dukacitanya Kerajaan Negeri Kelantan tidak berunding dengan Orang Asli Temiar sebelum meluluskan lesen pembalakan ataupun menawarkan apa-apa pampasan atas penafian hak tanah adat dan sumber keperluan mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sehubungan itu, Tommy berkata, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Kabinet memutuskan bahawa prosiding undang-undang harus dipertimbangkan bagi mencerminkan komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap Orang Asli.

Katanya, setelah meneliti kedudukan undang-undang, Jabatan Peguam Negara telah memfailkan tindakan sivil di Mahkamah Tinggi Malaya di Kota Bharu bagi pihak Kerajaan Persekutuan.

"Defendan-defendan ialah Kerajaan Negeri Kelantan, Pengarah Tanah dan Galian Negeri Kelantan, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan serta lima entiti swasta," katanya. - UTUSAN ONLINE