Mohd. Rafi Ab. Aziz, 25, yang mengemukakan rayuan di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali sebelum hukuman dijatuhkan berkata, dia mahu berjumpa ibunya sebelum hukuman penjara dilaksanakan.

“Saya mahu berjumpa dengan mak sebelum masuk penjara,” katanya sebelum dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan sebatan tiga kali kerana mendatangkan kecederaan terhadap ibunya, Mea’ah Abd. Majid, 64.

Selepas prosiding berakhir, tertuduh berulang kali menyuarakan rasa kesal atas perbuatannya itu serta mahu memohon maaf daripada ibunya dan riak wajah­nya bertukar sedih apabila dimaklumkan bahawa wanita itu tidak dapat hadir ke mahkamah kerana masih kurang sihat.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Rafi didakwa mencederakan ibunya dengan cara menghentak kepala mangsa menggunakan batang besi mesin pemotong rumput di rumah bernombor 447, Felda Bukit Sagu 1, di sini kira-kira pukul 5 petang, 4 Januari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Haryati Abdullah mengemukakan pertuduhan mengikut Sek­syen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Ke­seksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan.

Dalam rayuannya, anak bongsu daripada enam beradik itu turut memberi alasan dia menghidap penyakit angin pasang dan terpaksa menanggung ibunya.

Namun, Haryati memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat sebagai pengajaran kerana akibat kejadian itu, ibu tertuduh terpaksa menerima tiga jahitan di bahagian kanan kepala dan dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

“Pada hari kejadian tertuduh meminta wang daripada ibunya, namun apabila tidak diberikan, tertuduh telah mengamuk dan membaling barang ke arah ibunya, namun mangsa berjaya mengelak.

“Tidak puas hati dengan keada­an itu, tertuduh mengambil pula mesin pemotong rumput dan memukul ibunya dengan batang besi mesin berkenaan dan saya tidak rasa tertuduh yang menanggung ibunya ke­rana setiap bulan dia yang me­minta duit daripada mangsa,” katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, kejadian berlaku setelah pemuda itu tidak berpuas hati apabila ibunya enggan memberikannya duit.