Majistret Salamiah Salleh menjatuhkan hukuman itu selepas S. Sasikumar, 34, menukar pengakuan kepada bersalah terhadap kedua-kedua pertuduhan itu yang dilakukan di sebuah kilang, Jalan Tandang di sini kira-kira pukul 11 malam, 6 Januari lalu.

Bagi pertuduhan pertama, bekas pemandu lori itu didakwa dengan sengaja mencederakan K. Vimithulai Nathan, 22, dengan memukul menggunakan topi keledar di bahagian telinga mangsa.


Bapa lima anak itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Tertuduh turut didakwa melakukan ugutan jenayah terhadap seorang wanita, R. Kalaivani, 24, dengan mengeluarkan kata-kata ugutan iaitu “Jika kamu datang lagi jumpa ambil you punya adik nanti kami bunuh dan tanam”.

Bagi kesalahan itu, Sasikumar didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.


Mahkamah memerintahkan hukuman penjara enam bulan bagi setiap pertuduhan dan kedua-dua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkapan 8 Januari lalu.


Terdahulu, peguam Mohd. Syazwan Mohd. Hassan yang mewakili tertuduh memohon hukuman penjara yang singkat dengan alasan tertuduh telah insaf dan perlu menanggung keluarga.


Timbalan Pendakwa Raya, Mary Phoon Keat Mee bagaimanapun memohon hukuman sewajarnya dengan mengambil kira kecederaan dan trauma yang dialami mangsa. - UTUSAN ONLINE