Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, warga Vietnam bersama-sama empat orang lagi yang masih bebas, didakwa membunuh Kim Chol, 45, di Balai Berlepas klia2, kira-kira 9 pagi, pada hari berkenaan.

Pihak berkuasa telah mengesahkan pembawa pasport yang tertera dengan nama Kim Chol adalah sebenarnya Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un.

Siti Aisyah yang memakai baju merah dan Thi Huong memakai baju kuning tiba di Kompleks Mahkamah Sepang kira-kira 9.34 pagi, dikawal ketat anggota polis dan Unit Tindakan Khas.

Kedua-dua wanita itu yang kelihatan tenang dan bersahaja, dibawa masuk ke bilik prosiding secara berasingan kira-kira pukul 10 pagi dari tangga bawah terus menuju ke dalam kandang tertuduh dengan tangan bergari.

Selepas nama masing-masing dipanggil, kedua-dua tertuduh terus berdiri di dalam kandang tertuduh dan suasana senyap begitu ketara di mahkamah itu yang memuatkan 30 wakil media tempatan dan antarabangsa, serta wakil daripada kedutaan Indonesia dan Vietnam.

Siti Aisyah merupakan tertuduh pertama dan Thi Huong, tertuduh kedua.

Kedua-dua wanita itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan dan tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana ia merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Selangor Muhamad Iskandar Ahmad memohon supaya pertuduhan dibacakan dan diterangkan kepada kedua-dua tertuduh.

Selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Indonesia oleh jurubahasa Indonesia, Siti Aisyah mengangguk faham.

Siti Aisyah juga turut mengesahkan namanya seperti dalam pertuduhan.

Muhamad Iskandar meminta tempoh enam minggu bagi membolehkan pihaknya mendapatkan dokumen berkaitan kes itu sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Seorang daripada peguam yang mewakili Siti Aisyah, Gooi Soon Seng bangun dan memohon perintah melarang polis dan saksi berpotensi yang lain daripada membuat kenyataan akhbar yang boleh melibatkan dan menjejaskan anak guamnya daripada mendapat perbicaraan yang adil.

"Permohonan ini bagi memastikan hak untuk perbicaraan yang adil bagi anak guam saya kerana kenyataan berkenaan adalah subjudis," katanya.

Muhamad Iskandar berkata, beliau menyerahkan kepada mahkamah untuk memutuskannya.

Hakim Mahkamah Sesyen, Harith Sham Mohamed Yasin yang bertindak sebagai Majistret membenarkan permohonan itu.

Bagi kes bunuh, kes sepatutnya disebut pertama kali di Mahkamah Majistret dan pengakuan tidak diambil daripada tertuduh.

Pengakuan akan direkodkan semasa kes itu disebut di Mahkamah Tinggi.

Bagi Thi Huong, selepas pertuduhan dibacakan dia menjawab, "I understand, but no killing," (saya faham tapi tiada pembunuhan).

Bagaimanapun mahkamah meminta supaya tertuduh yang diwakili peguam, S. Selvam menjawab sama ada dia faham atau tidak pertuduhan itu tanpa sebarang penjelasan.

Muhamad Iskandar turut memohon kedua-dua kes itu disebut pada tarikh yang sama dan memohon kes itu dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan 13 April untuk sebutan semula kes.

Barisan pendakwaan juga dianggotai Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa, P.Kunyalam dan Mohd. Fairuz Johari.

Siti Aisyah turut diwakili empat lagi peguam iaitu S.Selvi, Azura Alias, Loke Kok Mun dan Wong Kah Hung.

Wartawan yang memasuki bilik mahkamah tidak dibenarkan membawa alat elektronik termasuk telefon bimbit.

Sebanyak empat kali saringan dan pemeriksaan badan dilakukan polis sebelum wartawan dibenarkan masuk ke bilik mahkamah.

Prosiding yang bermula pukul 10 pagi itu berakhir pukul 10.30.

Selepas prosiding, kedua-dua tertuduh kelihatan memakai jaket kalis peluru ketika meninggalkan mahkamah di bawah kawalan ketat anggota Pasukan Petugas Khas Jenayah Terancang (Stafoc).

Mereka meninggalkan kompleks mahkamah pada pukul 10.40 pagi dalam dua konvoi berasingan untuk ke Penjara Kajang.

Kim Chol atau Jong-nam dilaporkan sebelum ini berada di klia2 untuk penerbangan ke Macau pada tarikh berkenaan apabila dua wanita didakwa menyapu mukanya dengan tangan mereka yang dipercayai telah disembur bahan beracun.

Kim Chol meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

Analisis Jabatan Kimia mendapati agen saraf VX digunakan untuk membunuh mangsa. - BERNAMA