Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal dan Datuk Stephen Chung Hian Guan memutuskan demikian se­lepas menolak permohonan Ja­watankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman.

Jawatankuasa terbabit membuat permohonan untuk menangguhkan prosiding itu bagi membolehkan rayuan berhu­bung keputusan yang tidak membenarkan jawatankuasa itu menjadi pihak berkepentingan dalam inkues terbabit diputuskan.

Rayuan tersebut akan dide­ngar oleh Mahkamah Rayuan pada 4 Mac ini bagi memboleh­kan jawatankuasa bertindak kuil memfailkan afidavit me­ngenai kedudukan perunda­ngannya dalam permohonan serta bagi Jabatan Peguam Negara memfailkan afidavit balas kepada permohonan.

Setakat ini, Mahkamah Koroner telah mendengar kete­rangan 13 saksi dalam tempoh lapan hari prosiding.

Jawatankuasa Menyelamat Kuil Sri Maha Mariamman sebelum ini memfailkan notis usul untuk menangguhkan inkues dan merayu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam berhubung permohonan menjadi pihak terlibat dalam inkues.

Pada 8 Februari lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Ab. Karim Ab. Rahman mengekalkan keputusan Mahkamah Koroner Shah Alam yang menolak permohonan ja­watankuasa terbabit mengikut Seksyen 337 Kanun Tatacara Jenayah.

Inkues itu dijalankan bagi mencari punca kematian Muhammad Adib yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Subang Jaya ekoran kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Su­bang Jaya pada 27 November 2018.