Prosiding itu akan dikendalikan oleh suruhanjaya tersebut di mahkamah terbuka dengan mendengar keterangan saksi-saksi pelbagai bidang dan kepakaran serta dokumen-dokumen berkaitan urus niaga mata wang asing sekitar tempoh tersebut akan dikemukakan.

Difahamkan, belum ada saksi yang akan dipanggil memberi keterangan esok, sebaliknya prosiding sulung itu akan dimulakan dengan mendengar hujahan pembukaan yang akan dikemukakan kepada suruhanjaya tersebut melalui pegawai pengendali dari Jabatan Peguam Negara.

Suruhanjaya itu ditubuhkan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Pengerusi Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan mempengerusikan suruhanjaya itu manakala Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewa­ngan, Datuk Dr. Yusof Ismail bertindak selaku setiausaha.

Anggota-anggota lain terdiri daripada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md. Said; Ketua Pegawai Eksekutif, Bursa Malaysia Bhd., Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon dan Ahli Institut Akauntan Malaysia, K. Pushpanathan.

Antara bidang kuasa suruhanjaya itu adalah:

* Menentukan kesahihan dak­waan mengenai kerugian akibat urus niaga pertukaran mata wang asing yang dialami BNM sekitar tahun 1990-an serta implikasinya kepada ekonomi nega­ra.

* Menentukan sama ada penglibatan BNM dalam aktiviti urus niaga mata wang asing yang menyebabkan kerugian tersebut adalah bertentangan dengan Ordinan Bank Pusat 1958 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan.

* Menentukan sama ada terdapat elemen menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian BNM dalam aktiviti urus niaga mata wang asing itu dan memberikan kenya­taan yang mengelirukan kepada Jemaah Menteri, Parlimen dan rakyat.

* Mengesyorkan tindakan yang sesuai untuk diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan/atau tidak langsung jika didapati mereka me­nyebabkan kerugian BNM ser­­ta menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian itu.

* Mengesyorkan langkah-langkah bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.