Pihak polis sudah mengawal dan menyaring pengamal media dengan membuat pemeriksaan ke atas kad media yang sah di laluan masuk ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di sini sebelum membenarkan mereka berada lobi.

Di lobi pula, pengamal media dikehendaki beratur dan dibahagikan kepada dua barisan, iaitu mereka yang membuat liputan prosiding dalam mahkamah dan yang membuat liputan video secara langsung (live) di bilik yang disediakan.

Masing-masing pengamal media diberikan pas yang berbeza iaitu pas merah jambu sebanyak 21 keping untuk mereka yang membuat liputan di dalam mahkamah dan pas kuning sebanyak 50 keping bagi live.

Berikutan itu, ramai tidak berpuas hati terutama jurugambar yang tidak dapat naik ke tingkat dua yang menempatkan Mahkamah Sesyen kerana kehabisan pas khas itu.

Najib dijangka didakwa dengan tiga lagi tuduhan tambahan di Mahkamah Sesyen pagi ini membabitkan kesalahan pengubahan wang haram.

Difahamkan tuduhan itu adalah mengikut Seksyen 4 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiagaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Wang Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Pada 4 Julai lalu, Najib, 65, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas atas tiga pertuduhan melakukan pecah amanah dan satu pertuduhan menyalahgunakan jawatannya, berhubung dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta. - UTUSAN ONLINE.