Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif berkata, selain menjimatkan masa mahkamah dan mengurangkan kos litigasi, proses mediasi juga menjadikan pihak-pihak yang bertelingkah tidak bermusuhan berbanding dengan keputusan yang dibuat melalui perbicaraan.

Beliau berkata, ini kerana melalui proses itu, tidak ada pihak yang menang atau kalah sebaliknya kedua-dua pihak adalah 'menang'.

"Oleh sebab itu, Badan Kehakiman percaya konsep mediasi ini amat sesuai digunakan kerana ia dapat memberi khidmat yang sempurna dan menyumbang kepada penyelesaian kes dengan cepat dan adil.

"Saya percaya jika dapat dilaksnakan dengan jayanya, matlamat Badan Kehakiman untuk menyelesaikan kes mengikut tempoh masa yang ditetapkan dapat dicapai," katanya ketika berucap merasmikan Pusat MediasiMahkamah Tinggi Ipoh di sini hari ini.

Yang turut hadir Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop; Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Balia Yusof Wahi; Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali.

Pusat Mediasi Mahkamah Tinggi Ipoh merupakan yang kelima selepas Pusat Mediasi Mahkamah Kuala Lumpur, Mahkamah Johor Bahru, Mahkamah Shah Alam dan Mahkamah PulauPinang.- UTUSAN ONLINE