Khalid menyaman Mahamad Naser pada Disember tahun lalu berhubung isu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Proses mediasi itu berlangsung hari ini di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Rohani Ismail di kamar hakim dengan kehadiran Khalid selaku plaintif dan Mahamad Naser yang dinamakan sebagai defendan.

Peguam Muhammad Faiz Fadzil yang mewakili Khalid memberitahu pemberita, Rohani sehubungan itu menetapkan 30 Mei ini, keputusan permohonan Mahamad Naser untuk membatalkan saman anak guamnya.

Dalam penyataan tuntutannya, Khalid menyatakan, Mahamad Naser dalam satu seminar anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kira-kira pukul 9.50 pagi, 28 September 2017 di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam telah menyentuh isu RUU 355.

Dalam ceramah bertajuk `Wacana isu semasa dan perundangan peringkat negeri Selangor: Doktrin: Cabaran dan perlembagaan’, Khalid mendakwa, Mahamad Naser membuat pernyataan yang antaranya menggambarkan pihaknya menentang sekeras-kerasnya RUU 355, menentang pelaksanaan hukum syarak termasuk hudud dan menentang usaha untuk memperkasakan Mahkamah Syariah.

Pihak plaintif menyifatkan, pernyataan itu berniat jahat dengan pengetahuan penuh bahawa beliau adalah Ahli Parlimen Shah Alam yang dimaksudkan sehingga reputasinya dalam kalangan masyarakat tercemar, menanggung malu dan dipandang hina.

Khalid sehubungan itu menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan untuk ditaksirkan selain permohonan maaf serta perintah injunksi.

Mahamad Naser pada 30 Januari lalu memohon supaya Mahkamah Tinggi di sini membatalkan pernyataan tuntutan terpinda itu yang dianggapnya sebagai suatu penyalahgunaan proses mahkamah apabila dijadikan isu ‘perbicaraan oleh media’ bagi meraih pandangan umum.

Beliau juga menyifatkan pernyataan tuntutan terpinda Khalid bertarikh 15 Disember tahun lalu adalah mengaibkan, remeh dan menyusahkan kerana dijadikan platform bagi meraih political mileage (janji atau gimik politik) berhubung isu Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355.

Pihak defendan juga menyatakan, pihak plaintif telah menggunakan mahkamah bagi meraih political mileage.

Tuntutan tersebut juga menurut pihak defendan, tidak mendedahkan suatu tindakan yang munasabah memandangkan beliau tidak pernah menamakan atau merujuk kepada Khalid dalam pernyataan yang didakwa berbaur fitnah itu.

Mahamad Naser diwakili peguam Arik Zakri dan Ahmad Kamal Abu Bakar.