Kent Caburnay Acuin, 29, yang berasal dari Cebu, Filipina itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya selesai dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Maizatul Munirah Abdul Rahman.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa memanjat kereta Honda City warna kelabu dalam keadaan berbogel dengan niat menganggu kesantunan seseorang di Jalan Sultan Ismail di dalam daerah Dang Wangi di sini, pada pukul 10.40 pagi, 13 Mac lalu.

Pertuduhan dikemukakan oleh Tinbalan Pendakwa Raya, B. Rajdeep Singh dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Semalam, lelaki itu juga turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas tuduhan memanjat sebuah kereta dalam keadaan bogel.

Minggu lalu, video dan gambar lelaki itu, yang tidak berpakaian berjalan di tengah jalan raya sekitar Jalan Barat off Jalan Imbi, tular di dalam laman sosial.

Dalam rakaman video itu, lelaki tersebut turut didapati berdiri di atas sebuah kereta sebelum menuju ke arah kereta lain.

Ada beberapa ketika dia menuju ke tepi dan tengah jalan, menuju ke arah tiang lampu serta melakukan aksi lucah.

Orang ramai yang melihat kejadian berkenaan kemudian memaklumkannya kepada pihak polis. - UTUSAN ONLINE