Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap ketiga-tiga tertuduh selepas mereka didapati bersalah di akhir kes pembelaan apabila gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa melakukan rompakan secara berkumpulan dengan niat terhadap seorang peniaga dengan mengambil wang tunai RM3,050.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Tanjung Badang di sini kira kira pukul 11.15 malam, 18 Mac 2016 lalu.

Tertuduh pertama, Adri Hazwan Ahmad, 29, dijatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan empat sebatan.

Adri Hazwan yang juga anggota polis didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Sementara itu, kedua-dua tertuduh yang masih bebas iaitu tertuduh kedua, Mohamad Fauzi Ariffin, 27 yang merupakan seorang anggota polis dan tertuduh ketiga, Mohamad Fairuz Ariffin, 30, seorang peniaga dihukum penjara 13 tahun dan enam sebatan.

Kedua-dua tertuduh yang merupakan pasangan adik beradik dijatuhkan hukuman tanpa kehadiran mereka di mahkamah hari ini mengikut Seksyen 425 (a) Kanun Prosedur Jenayah. - UTUSAN ONLINE