Demikian luahan Koperal Jusninawati Abdul Gani ketika ditanya sama ada dia masih berminat dengan kerjaya sebagai anggota pasukan keselamatan itu selepas Mahkamah Persekutuan hari ini membebas dan melepaskannya daripada hukuman penjara tujuh tahun yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hampir tiga tahun lalu atas dakwaan me­nyembunyikan maklumat ak­tivi­ti berkaitan keganasan daripada pihak berkuasa.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin sebulat suara membenarkan rayuan polis wanita itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman ke atasnya.

Rayuan Jusninawati dibenarkan selepas panel hakim mendapati pertuduhan yang dikenakan ke atas wanita itu dibuat meng­ikut peruntukan undang-undang yang tidak wujud (non-existence).

Pada 6 Disember 2016, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun ke atas anggota polis wanita itu dan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan di sini.

Ibu kepada dua orang anak perempuan berusia 10 dan 11 tahun itu menzahirkan ucapan syukur ke hadrat Allah sebaik sahaja jurubahasa mahkamah menerangkan keputusan mah­kamah tersebut.

“Alhamdulillah,” katanya sam­­bil meraup muka dengan kedua-dua belah tangan.

Ditanya mengenai kehidupannya selepas ini, Jusninawati berkata: “Kehidupan selepas ini biasa. Sekiranya ditakdir untuk saya bekerja semula, insya-Allah saya akan berkhidmat dengan sebaik mungkin. Sekiranya Allah beri rezeki haluan itu (sebagai anggota polis), insya-Allah saya akan jaga dengan baik.”

Sementara itu, ibunya Junaidah Hasssan, 65, turut melahirkan saya syukur dan menitiskan air mata di atas pembebasan anak bongsunya itu.

“Saya bersyukur. Siang malam dan setiap kali solat saya berdoa agar dia dibebaskan,” katanya.

Sebelum ini, Jusninawati didakwa sengaja tidak memberi sebarang maklumat berkenaan kesalahan yang dipercayai perbuatan keganasan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di sini, antara Ogos 2015 dan Mac 2016.

Jusninawati didakwa meng­ikut Seksyen 130M Kanun Ke­seksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Menurut peguam belanya, Farida Mohammad, mahkamah berpendapat Seksyen 13(1)(a) Kanun Prosedur Jenayah yang diguna pakai dalam kes itu tidak merangkumi kesalahan di bawah Seksyen 130JA Kanun Keseksaan sebelum dipinda.