Perdana Menteri mencabar pelantikan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Md. Raus Sharif dan bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebelum mereka meletak jawatan pada 31 Julai lalu.

Pada 24 September lalu, panel enam hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Tan Sri Hasan Lah menolak rujukan perlembagaan yang dikemukakan oleh dua badan peguam atas alasan isu pokok yang dibangkitkan kini akademik dan tidak lagi memberi kesan kerana mereka telah bersara.

Sehubungan itu, Mahkamah Rayuan menetapkan 14 Januari tahun depan bagi mendengar rayuan Perdana Menteri untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman dalam usaha mencabar pelantikan kedua-duanya.

Tarikh itu ditetapkan oleh Timbalan Pendaftar, Norazihah Asmuni selepas pengurusan kes di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman hari ini.

Peguam Nur Dalila Husna Azmi hadir mewakili Dr. Mahathir manakala Peguam Persekutuan, Saiful Nizam Shahrin mewakili kerajaan Malaysia dan kedua-dua bekas hakim berkenaan selaku pihak responden.

Sementara itu, seorang lagi peguam yang mewakili Perdana Menteri, Mohamed Haniff Khatri Abdulla memberi­tahu pemberita, anak guamnya berhasrat meneruskan rayuan ke peringkat tertinggi bagi membolehkan isu berhubung pelantikan hakim tambahan ditafsir berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.

Menurut beliau, pihak res­ponden tidak membantah panel hakim yang akan mendengar rayuan tersebut.

Ujarnya, mahkamah menetapkan pengurusan kes pada 28 Disember ini bagi memukta­mad­kan penyerahan penghujahan bertulis.

Dr. Mahathir merayu keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya bagi mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan kedua-dua hakim berkenaan yang te­lah bersara Julai lalu.

Pada 6 November tahun lalu, Hakim Datin Azizah Nawawi menolak permohonan itu selepas berpuas hati, tiada kewajipan statutori untuk Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agon­g supaya membatalkan pelantikan Raus dan Zulkefli.

Dr. Mahathir selaku pemohon memfailkan dua permohonan kebenaran semakan kehakiman pada Ogos dan September tahun lalu bagi mendapatkan perintah mandamus supaya mewajibkan Perdana Menteri dan kerajaan pada masa itu memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan pelantikan mereka.

Kedua-dua permohonan di­kemukakan atas alasan antaranya, dalam Perkara 125(1) Perlembagaan Persekutuan tidak membenarkan pelantikan seseorang yang sudah mencapai umur perkhidmatan perlembagaan iaitu 66 tahun, enam bulan untuk memegang jawatan ber­kenaan.