Hakim D. Sumita Kaur Jessy menetapkan demikian di kamar hakim di sini hari ini setelah mendapati PLUS bertanggungjawab sepenuhnya dalam kes kematian Imran Kamali Ahmad Nadzirin, 45, ekoran gagal memastikan keselamatan lebuh raya kepada pengguna jalan raya.

Peguam Sukhdave Singh yang mewakili Hawa Liyana Hashim, 34, ketika ditemui pemberita di luar mahkamah memberitahu, ganti rugi yang perlu dibayar kepada anak guamnya itu termasuk RM10,000 untuk tuntutan kesedihan dan RM3,000 untuk kos pengebumian.

“Plaintif telah memfailkan tuntutan ganti rugi kemalangan maut sebanyak RM300,000 pada Oktober 2016 di bawah Seksyen 7 Akta Undang-undang Sivil 1956.

“Sebanyak lima saksi termasuk tiga daripada PLUS telah memberi keterangan dalam perbicaraan yang berlangsung selama sehari pada 22 Mei lalu,” kata Sukhdave.

PLUS diwakili oleh peguam, Siti Aimuni Abd. Latif.

Sementara itu, Hawa Liyana ketika ditemui melahirkan rasa puas hati dengan keputusan tersebut, justeru berharap PLUS akan lebih bertanggungjawab kerana menyifatkan kejadian seumpama itu tidak sepatutnya berlaku.

Menurut Hawa Liyana, sewaktu kejadian, beliau sedang mengan­dungkan anak keduanya yang kini berusia setahun sembilan bulan.

Pada 29 April 2015, akhbar me­laporkan Imran Kamali yang me­nunggang motosikal jenis Harley Davidson, maut di tempat kejadian selepas terbabas sendiri akibat terlanggar kayu di lebuh raya ber­kenaan.

Mangsa yang sedang dalam perjalanan dari Permatang Pauh, Pulau Pinang menuju ke Kuala Lumpur, meninggal dunia akibat mengalami kecederaan parah.