Peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri itu memaklumkan pihaknya baru menerima dokumen permohonan berkenaan daripada pihak pendakwaan pagi ini.

Menurut Akberdin, pihaknya memerlukan masa untuk meneliti dokumen berkenaan dan sehubungan itu, pihaknya memohon tarikh pengurusan lain.

Berhubung permohonan pihak pendakwaan supaya kes rasuah dan pengubahan wang dihadapi anak guamnya dibicarakan bersama, Akberdin berkata, kedua-kes itu melibatkan transaksi yang berbeza.

Sehubungan itu, beliau dan barisan peguam bela yang lain turut memerlukan masa untuk meneliti dan menjawab permohonan berkenaan.

Pada 15 November lalu, Rosmah mengaku tidak bersalah atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima rasuah RM1.5 juta dalam kes penyelewengan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan dan Operasi Genset/Diesel bagi sekolah di Sarawak.

Beliau didakwa meminta suapan berjumlah RM187.5 juta iaitu 15 peratus nilai kontrak daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd., Saidi Abang Samsudin sebagai dorongan untuk membantu syarikat itu mendapatkan solar bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Sementara itu, bagi pertuduhan kedua pula, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak Holdings mendapatkan projek itu.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit dekat sini, antara Mac dan April 2016 dan di No. 11 Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 September 2017.

Bagi kedua-dua perbuatan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi. - UTUSAN ONLINE