Dalam permohonan notis usul yang difailkan pada 3 April lalu, Ahli Parlimen Pekan itu memohon supaya tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadapnya itu, digantung atau dibatalkan atas alasan ia adalah cacat selain ia adalah satu proses penyalahgunaan mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Budiman Lutfi Mohamed ketika ditemui pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Mahyudin Mohmad Som berkata, pihak pendakwaan telah menerima notis usul dan afidavit permohonan Najib hari ini.

“Pihak pendakwaan akan memfailkan afidavit balasan pada 15 April dan pembelaan pada 19 April. Kedua-dua pihak juga perlu memfailkan hujahan masing-masing pada 22 April. Pendengaran notis ini masih belum ditetapkan,” katanya.

Turut hadir pada prosiding hari ini ialah peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib.

Pada hari pertama perbicaraan SRC International pada 3 April lalu, peguam Tan Sri Muhammad Shafee yang mewakili Najib, memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa pihaknya memfailkan notis usul bagi mencabar pertuduhan itu.

Najib, 66, didakwa pada 4 Julai tahun lalu atas tiga tuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Ogos 2018 pula, beliau dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga tuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah dan dari dana sama. Perbicaraan kes itu akan bersambung pada 15 April ini. - UTUSAN ONLINE.