Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop yang bersidang bersama Datuk Rohana Yusof dan Datuk Mohd. Zawawi Salleh menetapkan 13 Ogos ini bagi pengurusan kes.

Kuorum berkenaan menetapkan demikian bagi mendapat penjelasan lanjut sama ada Jabatan Peguam Negara (AGC) masih bertindak mewakili SPR selaku responden dalam permohonan tersebut.

Sebelum itu, peguam Leong Cheok Keng yang mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang memaklumkan, pihaknya mendapat maklum balas daripada AGC bahawa badan itu tidak lagi mewakili SPR dalam prosiding sivil.

Ujar peguam tersebut, surat bertarikh 26 Jun lalu memaklumkan bahawa sebarang surat cara berkaitan permohonan sivil perlu dikemukakan terus kepada SPR.

Namun demikian, Cheok Keng berkata, AGC mempunyai hak untuk hadir pada pendengaran akan datang kerana Kerajaan Negeri Pulau Pinang memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Tinggi menolak kebenaran memulakan semakan kehakiman.

Peguam Negara yang baharu, Tommy Thomas dalam satu kenyataan bulan lalu menyatakan, AGC tidak lagi bertindak mewakili SPR kerana agensi itu merupakan badan bebas yang ditubuhkan di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk mengendalikan pilihan raya.

Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah selepas itu, peguam menyatakan, pihaknya akan tetap meneruskan permohonan kebenaran merayu meskipun keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) memihak kepada mereka.

Menurut Cheok Keng, kerajaan negeri mahukan mahkamah tertinggi negara menentukan beberapa persoalan undang-undang sama ada tindakan SPR melaksanakan persempadan semula, boleh diperhalusi di mahkamah.

Ujar peguam itu, keputusan tersebut penting sebagai panduan kepada agensi tersebut untuk melaksanakan persempadanan semula untuk tempoh akan datang.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang memohon kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 21 Februari lalu yang menolak rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 20 November tahun lalu.

Mahkamah Tinggi ketika itu menolak permohonannya untuk mendapat kebenaran memulakan semakan kehakiman.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang memfailkan permohonan semakan kehakiman pada 7 Jun tahun lalu bagi mendapat perisytiharan bahawa cadangan persempadanan semula oleh SPR tidak sah kerana melanggar Perkara 113(6) Perlembagaan Persekutuan. - UTUSAN ONLINE