Perkara tersebut dimaklumkan peguam Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili UMNO kepada pemberita selepas pengurusan kes tersebut di dalam kamar Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad hari ini, yang turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan, S. Narkunavathy dan 
Khairul Nizam Mohd. Kamal bagi pihak PDRM dan kerajaan.


Menurut Hariharan, hari ini sepatutnya ditetapkan untuk mendengar permohonan UMNO supaya PDRM mengemukakan dokumen berhubung sitaan wang yang didakwa milik parti itu.


“Bagaimanapun, mahkamah memutuskan untuk mendengar permohonan bagi membatalkan saman itu terlebih dahulu. 


“Bagi permohonan penzahiran dokumen pula, mahkamah menetapkan tarikh sama untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya.


UMNO selaku plaintif pada 21 September lalu telah memfailkan saman berkenaan dengan menamakan Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Sakri Arifin, Penolong Pesuruhjaya Polis JSJK R.Rajagopal, Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan pertama hingga kelima.


Dalam penyataan tuntutannya, plaintif mendakwa penggeledahan yang dilakukan pada 17 Mei lalu dan penyitaan adalah salah di sisi undang-undang, mencabuli hak-hak parti itu, pelanggaran kewajipan statutori, penyalahgunaan kuasa, misfeasans awam kerana bertindak demikian terhadap UMNO tanpa sebab munasabah,  berniat jahat, melulu, cuai dan dengan sengaja sebabkan kerugian dan menjejaskan parti itu.


Plaintif juga mendakwa bahawa tindakan kesemua defendan itu menyebabkan UMNO kehilangan hak untuk menggunakan dana terbabit serta mengalami kehilangan dan kerugian. - UTUSAN ONLINE.