Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad memutuskan demikian di dalam kamar hakim di sini dengan dihadiri peguam, Datuk Hariharan Tara Singh yang mewakili UMNO selaku plaintif dan Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy bagi pihak PDRM dan kerajaan.

Narkunavathy ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, mahkamah membenarkan permohonan berkenaan dengan alasan saman tersebut bersifat remeh, melampau dan menyalahgunakan proses mahkamah.

“Mahkamah juga berpendapat saman tersebut tiada locus standi (hak di sisi-sisi undang-undang) dan tiada kausa tindakan munasabah. Oleh itu, mahkamah membatalkan saman parti itu dan memerintahkan UMNO membayar kos RM7,000,” katanya.

PEGUAM Hariharan Tara Singh (kanan) dan Tania Scivetti ketika hadir ke Mahkamah Tinggi bagi keputusa

PEGUAM Hariharan Tara Singh (kanan) dan Tania Scivetti ketika hadir ke Mahkamah Tinggi bagi keputusan permohonan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerajaan untuk membatalkan saman UMNO yang menuntut wang berjumlah RM116.7 juta milik parti itu. - UTUSAN ONLINE/ AMIN FARIJ HASAN

UMNO selaku plaintif pada 21 September tahun lalu telah memfailkan saman berkenaan dengan menamakan Timbalan Pengarah (Risikan/Operasi) Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Sakri Arifin, Penolong Pesuruhjaya Polis JSJK R.Rajagopal, Pengarah JSJK Bukit Aman ketika itu disandang oleh Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, Ketua Polis Negara dan kerajaan sebagai defendan pertama hingga kelima.

Dalam penyataan tuntutannya, plaintif mendakwa penggeledahan yang dilakukan pada 17 Mei tahun lalu dan penyitaan adalah salah di sisi undang-undang, mencabuli hak-hak parti itu, pelanggaran kewajipan statutori, penyalahgunaan kuasa, misfeasans awam kerana bertindak demikian terhadap UMNO tanpa sebab munasabah, berniat jahat, melulu, cuai dan dengan sengaja sebabkan kerugian dan menjejaskan parti itu.

Plaintif juga mendakwa bahawa tindakan kesemua defendan itu menyebabkan UMNO kehilangan hak untuk menggunakan dana terbabit serta mengalami kehilangan dan kerugian. - UTUSAN ONLINE