Perkara itu dimaklumkan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Izhanudin Alias selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Nurliana Ismail di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

 Kedua-duanya dituduh melakukan pecah amanah wang kerajaan berjumlah lebih RM6.6 bilion.

Permohonan kes tersebut akan didengar di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Rozana Ali Yusoff pada pukul 3.30 petang, Jumaat  depan.

Menurut Mohd. Izhanudin, permohonan untuk memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi dibuat oleh peguam Rahmat Hazlan yang mewakili Ahli Parlimen Pekan itu tidak dibantah oleh peguam, Datuk K. Kumaraendran mewakili Mohd. Irwan Siregar kerana kes berkenaan akan dibicarakan bersama.

Sementara itu, Kumaraendran ketika ditemui pemberita berkata, tiada keperluan untuk pihaknya memfailkan permohonan yang sama kerana kedua-dua mereka telah dituduh bersama-sama.

Pada 25 Oktober lalu, Najib, 65,  dan Irwan Serigar, 61, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah membabitkan dana Kerajaan Malaysia berjumlah lebih RM6.6 bilion.

Mengikut pertuduhan, kedua-duanya sebagai penjawat awam iaitu masing-masing atas kapasiti Menteri Kewangan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Kementerian Kewangan didakwa telah melakukan pecah amanah  wang antara RM220 juta dan RM1.3 bilion milik Kerajaan Malaysia.

Keenam-enam pertuduhan itu didakwa dilakukan di Kompleks Kementerian Kewangan, Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh  juga dikenakan denda. -UTUSAN ONLINE