Hakim Rozina Ayob membuat keputusan itu dengan meletakkan beberapa syarat tambahan iaitu Musa perlu melapor diri di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Singapura dan Pejabat Kedutaan Malaysia di London setiap tiga hari sekali sepanjang tempoh berada di London antara 23 Januari dan 8 Februari.


Musa, 68, yang diwakili peguam Francis Ng Aik Guan perlu terlebih dahulu mengemukakan alamat penginapannya ketika berada di Singapura dan London, sebelum pasport antarabangsanya dapat dilepaskan.


Sepanjang tempoh pelepasan pasport itu, pergerakan Musa hanya terhad di Singapura dan London sahaja, sekiranya mahkamah mendapati terdapat pergerakan lain selain dari dua negara berkenaan maka jaminan ke atasnya akan terbatal.


Mahkamah memerintahkan Musa untuk memulangkan semula pasport selewat-lewatnya pada 11 Februari dan jaminan terhadapnya ditetapkan RM200,000.


Wang jaminan berkenaan akan dikembalikan semula selepas Musa menyerahkan pasport antarabangsanya ke mahkamah setelah kembali daripada menerima rawatan.


Bagi sebutan berhubung kes rasuahnya, Mahkamah menetapkan 20 Februari ini. Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran. 


Pada 5 November lalu, Musa mengaku tidak bersalah atas 35 pertuduhan rasuah berhubung kontrak konsesi balak di negeri berkenaan berjumlah US$63,293,924 (RM263,460,962.313).


Mengikut semua pertuduhan itu, Musa didakwa memperoleh rasuah daripada lapan pemilik syarikat konsesi balak dan dia dituduh melakukan kesalahan itu di lapan institusi kewangan di Hong Kong dan Singapura antara 20 Disember 2004 dan 6 November 2008.


Semua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau denda RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi. - UTUSAN ONLINE.