Hakim Datuk Azizah Nawawi memutuskan untuk menolak permohonan Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Akmal Akif Alias, Mohamad Syazwan Musa, Muhamad Ashraf Abdullah dan Muhamad Amirul Asraff Mala selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan bantahan awal Peguam Persekutuan, M. Kogilambigai.

Kogilambigai mewakili pihak responden yang terdiri daripada Akademi Latihan Ketenteraan UPNM, universiti itu, Kementerian Pertahanan dan kerajaan Malaysia.

Lima pemohon terbabit antara 19 tertuduh yang didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada 14 Jun 2017 atas tuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Pegawai Kadet, Zulfarhan Osman Zulkarnain di bilik 04-10, blok penginapan asrama Jebat, UPNM, Kem Perdana, Sungai Besi di sini antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei tahun lalu.

Kelima-lima mereka memohon kebenaran semakan kehakiman untuk mencabar keputusan pihak responden yang didakwa telah bertindak di luar bidang kuasa dalam membatalkan pelantikan mereka sebagai pegawai kadet akademi dan juga perkhidmatan dalam ATM atas dakwaan melanggar terma ikatan perjanjian.

Pihak pemohon yang mendakwa tiada sebarang pelanggaran terma perjanjian dilakukan mendakwa, pihak responden telah gagal mematuhi prosedur pemecatan dan tidak adil kepada mereka apabila turut menahan gaji mereka secara salah dan tidak sah.

Mereka pada 12 Februari lalu telah memfailkan permohonan secara ex-parte (sebelah pihak) bagi mendapatkan kebenaran semakan kehakiman untuk membatalkan keputusan pihak responden bertarikh 19 Oktober tahun lalu yang membatalkan pelantikan mereka sebagai pegawai kadet dan ditamatkan perkhidmatan daripada ATM.

Mereka juga memohon perintah perisytiharan bahawa pembatalan pelantikan tersebut adalah pramatang, tidak sah dan batal selain perintah mandamus untuk memaksa pihak responden menarik balik atau membatalkan perintah pembatalan pelantikan mereka sebagai Pegawai Kadet Akademi Latihan Ketenteraan UPNM dan menamatkan perkhidmatan mereka daripada ATM.

Pihak responden dalam bantahan awalnya pada 27 Februari lalu menyatakan, kebenaran untuk semakan kehakiman tidak perlu diberikan memandangkan akademi itu dan UPNM bukan suatu entiti perundangan yang boleh menyaman dan disaman.

Pihak responden juga menyifatkan, permohonan pihak pemohon tidak teratur dan tidak dapat dipertahankan kerana menamakan pihak yang tidak sepatutnya dalam permohonan tersebut misalnya UPNM dan kerajaan bukannya pembuat keputusan seperti yang dinyatakan.

Katanya, pihak pemohon merupakan pegawai kadet ATM sehubungan itu pemecatannya dibuat oleh ATM.