Hakim Datuk Kamaludin Md. Said memutuskan demikian selepas mendapati antaranya, rampasan tersebut tidak menyalahi undang-undang dan waran rampasan yang dikeluarkan adalah sah.

“Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah 1995 yang dipersoalkan oleh pihak pemohon boleh disemak melalui semakan kehakiman,” katanya.

Namun begitu, rampasan dan penggeledahan itu masih dalam siasatan sehubungan itu perkara tersebut berada di luar bidang kuasa semakan kehakiman.

Tambahan pula, ujar beliau, syarikat ZI Publications tidak pernah didakwa di mahkamah atas sebarang kesalahan melibatkan pemilikan buku itu.

Kedua-duanya pada 9 Julai 2012 memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar serbuan dan rampasan yang telah dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Mereka menamakan JAIS, ketua pengarahnya, ketua bahagian penguatkuasaan, ketua pendakwa Syarie Selangor, kerajaan Negeri Selangor dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keenam. 

Mereka antara lain memohon perintah certiorari untuk membatalkan tindakan pegawai JAIS yang melakukan serbuan dan merampas 180 naskhah buku itu pada 29 Mei 2012 di ZI Publications di B-2-19, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, PJU 3, Petaling Jaya, Selangor.- UTUSAN ONLINE