Dengan keputusan yang dibuat Hakim Rofiah Mohamad yang bertindak sebagai Koroner itu, kedua-dua pihak terbabit hanya boleh mengikuti prosi­ding yang akan bermula 11 Februari ini sebagai orang awam dan tidak berpeluang untuk menyoal saksi yang akan dipanggil pada prosiding terbabit.

Ketika memutuskan sedemikian, Mahkamah telah mempertimbangkan permohonan mengikut Seksyen 337 Kanun Tatacara Jenayah dan mendapati kedua-dua pihak tersebut tidak mempunyai kepentingan yang nyata, substansif dan munasabah.

Jelasnya, selaku Koroner, beliau tidak boleh keluar daripada sempadan yang digariskan iaitu Seksyen 337 Kanun Tatacara Jenayah iaitu untuk mengetahui bila Muhammad Adib meninggal dunia, di mana beliau me­ninggal dunia, bagaimana beliau me­ning­gal dunia dan dalam apa cara beliau meninggal dunia.

“Malah, berdasarkan terma dan identiti peranan jawatankuasa kuil yang ditubuhkan selepas berlaku kes tersebut agak tersasar dari terma rujukan inkues. Begitu juga dengan sebahagian penganut Hindu yang tidak diketahui identiti­nya. Mereka tidak menunjukkan kepentingan untuk turut serta dalam inkues. Setelah membuat pertimbangan, mahkamah menolak permohonan kedua-dua pihak,” katanya.

Pada prosiding hari ini, jawatankuasa kuil diwakili peguam M. Visvanathan dan R. Karnan manakala Siti Zabedah Kassim pula mewakili 50 penganut Hindu di kuil tersebut. Rofiah bagaimanapun membenarkan Majlis Peguam yang diwakili Ro­ger Chan Weng Keng dan Cyrus Tiu Foo Woei menjadi peguam pemerhati inkues berkenaan.

Mahkamah turut berpesan kepada semua pihak terlibat agar tidak mengeluarkan ke­nyataan seolah-olah mendahului prosiding mahkamah.

“Elakkan keluarkan kenya­taan seperti yakin (Muhamad) Adib mati dalam keadaan ter­tentu. Ia seolah-olah pihak ter­babit mendahului mahkamah sedangkan prosiding inkues belum bermula. Kita (pihak-pihak berkepentingan) menyertai in­kuiri ini sebab mahu tahu apa yang terjadi (kematian Muhammad Adib),” katanya.

Sementara itu, prosiding in­kues itu akan melibatkan saksi-saksi profesional terdiri daripada enam doktor serta pegawai pe­nyiasat yang bakal memberi kenyataan melalui keterangan lisan seperti yang diputuskan Mahkamah Tinggi semalam dan bukannya penya­taan bertulis se­perti yang ditetapkan baru-baru ini.

Pada 18 Januari lalu, Rofiah menetapkan inkues akan berlangsung selama 44 hari melibatkan tiga fasa prosiding de­ngan fasa pertama bermula pada 11 hingga 28 Februari, fasa kedua pada 1,4,5 dan 19 hingga 29 Mac manakala fasa ketiga pada 1 hingga 12 April.

Rofiah juga membenarkan rakaman video yang tular di laman sosial berkaitan insiden tersebut ditayangkan seperti dimohon pegawai pengendali, namun peralatan seperti projektor perlu dibawa sendiri selain membenarkan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) sebagai pemerhati sepanjang prosi­ding inkues.