Hasanah, 61, ditangkap oleh SPRM pada pukul 5 petang, 28 Ogos lalu dan keesokannya, dia dikenakan perintah reman selama enam hari berhubung kes salah guna wang peruntukan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Peguam Datuk Shaharudin Ali yang mewakili Hasanah ketika berhujah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini menyatakan, perlu diingatkan bahawa hak untuk bertemu atau berjumpa peguam adalah tidak sama atau berbeza dengan hak anak guamnya itu untuk diwakili dan berunding dengan peguam.

Menurut Shaharudin sepanjang enam hari Hasanah ditahan reman, hak anak guamnya itu untuk berunding dengan peguam telah dinafikan SPRM menerusi sepucuk surat pemberitahuan bahawa haknya untuk berunding dengan peguam disekat di bawah Seksyen 28A(8) dan (9) Kanun Tatacara Jenayah.

Shaharudin menyatakan demikian ketika berhujah dalam kes saman pemula Hasanah yang difailkan pada 30 Ogos lalu bagi mendapat perisytiharan bahawa dia berhak untuk diwakili dan dibela oleh peguam semasa ditahan reman SPRM.

Hak tersebut dijamin dan termaktub dalam Fasal 5(3) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan, jika seseorang ditangkap hendaklah diberitahu seberapa segera alasan mengapa dia ditangkap dan dibenarkan berunding atau dibela oleh pengamal undang-undang pilihannya manakala Fasal 8 pula menyebut bahawa seseorang itu berhak mendapat perlindungan sama rata di sisi undang-undang.

Peguam Kanan Persekutuan, Norzilati Izhani Zainal @ Zainol yang mewakili SPRM dan kerajaan yang dinamakan sebagai pihak responden ketika membalas hujah menyatakan, dakwaan yang mengatakan peguam tidak diberikan akses langsung untuk bertemu Hasanah adalah tidak tepat.

Hal ini kerana menurut Norzilati Izhani, peguam telah dibenarkan untuk berjumpa anak guamnya sebelum direman dan haknya tidak dinafikan.

Beliau sehubungan itu memohon supaya permohonan Hasanah ditolak dengan kos.

Hakim Datuk Nordin Hassan selepas mendengar permohonan tersebut menetapkan 26 Oktober ini untuk membuat keputusan. - UTUSAN ONLINE