Mereka memohon pelaksanaan hukuman penjara itu ditangguhkan sementara menunggu permohonan semakan terhadap keputusan itu didengar bulan depan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Mohtarudin Baki yang bersidang bersama Datuk Seri Zakaria Sam dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil menetapkan kedua-dua permohonan tersebut didengar di hadapan panel lain.

Sebelum itu, peguam Datuk Harpal Singh Grewal memaklumkan bahawa pihaknya mencadangkan agar permohonan pelaksanaan hukuman itu didengar oleh panel berbeza memandangkan kuorum hari ini merupakan panel yang sama yang membuat keputusan dan menjatuhkan hukuman terhadap keempat-empatnya dan syarikat berkenaan, dua hari lalu.

Ketika itu, Hakim Mohtarudin turut menolak permohonan lisan pasukan peguam bela agar penangguhan sementara diberikan kepada mereka.

Rabu lalu, panel berkenaan menjatuhkan hukuman denda RM2 juta terhadap syarikat pelaburan jongkong emas itu kerana menerima deposit tanpa lesen, hampir 10 tahun lalu sementara empat bekas pengarahnya dihukum penjara lima tahun dan denda RM1 juta setiap seorang terhadap empat kesalahan sama.

Mereka terdiri daripada Chin Wai Leong, 41, Ng Poh Weng, 67, Datuk Marcus Yee Yuen Seng, 65, dan Liew Chee Wah, 63. Jika gagal membayar denda RM1 juta, masing-masing diperintah menjalani hukuman penjara setahun.

Panel itu juga mengarahkan mereka menjalani hukuman penjara tiga tahun atas 154 tuduhan melakukan pengubahan wang haram melibatkan urus niaga bernilai lebih RM200 juta.

Keempat-empatnya disabitkan atas 154 tuduhan pengubahan wang haram di Public Bank Bhd. Cawangan Kuala Lumpur, Tingkat Bawah, Menara Public Bank, 146, Jalan Ampang di ibu negara di antara Julai 2008 dan Jun 2009.

Mereka dan syarikat itu juga menghadapi lima pertuduhan menerima deposit daripada orang awam tanpa lesen di Jalan Kuchai Maju 6, Persimpangan Jalan Kuchai Lama di ibu negara di antara November 2008 dan Julai 2009. - UTUSAN ONLINE