Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad dalam keputusannya menyatakan, tiada sebarang alasan untuk mahkamah mencampuri proses membuat keputusan yang dijalankan oleh pihak penjara.


“Pada hakikatnya, Anwar kini seorang banduan dan beliau tertakluk kepada segala arahan dan peraturan yang telah ditetapkan oleh Ketua Pengarah Penjara,” ujar Hakim Nik Hasmat.


Dalam penghakiman lisan itu, hakim itu berpendapat, tiada keperluan untuk pihak penjara menyatakan alasan mengapa mereka menolak permohonan yang dikemukakan oleh Anwar dan keluarganya.


Anwar, 69,  isterinya Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, 63, dan empat anak perempuan mereka Nurul Izzah, 35, Nurul Nuha, 32, Nurul Ilham, 28, dan Nurul Iman, 25, selaku pihak pemohon memfailkan permohonan itu pada Mei tahun lalu dengan menamakan Pengarah Penjara Sungai Buloh, Komisioner Jeneral Penjara dan Menteri Dalam Negeri sebagai pihak responden.


Kesemua pemohon mendakwa, hak mereka untuk bersentuhan secara fizikal dgn Anwar dan ahli keluarganya telah dinafikan apabila dipisahkan melalui dinding kaca selain percakapan melalui telefon semasa lawatan ke penjara tiga minggu sekali. - UTUSAN ONLINE