UMMB memecat Amran pada 3 September 2009 setelah didapati membuat kenyataan-kenyataan berbaur fitnah dalam portal berita, Malaysiakini pada 24 April 2009 dan 26 Jun 2009 serta portal Harakahdaily pada 20 April tahun sama.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Azizah Nawawi dalam penghakimannya bersetuju dengan dapatan yang dibuat oleh Mahkamah Perusahaan bahawa artikel yang disiarkan itu boleh merosakkan reputasi syarikat berkenaan.

“Sehubungan itu, saya mempertimbangkan dapatan fakta yang dibuat oleh Mahkamah Perusahaan bahawa memfitnah majikan adalah salah laku yang membolehkan pemohon (Amran) dipecat. Justeru itu, saya berpendapat tiada asas untuk mengganggu keputusan Mahkamah Perusahaan,” kata Hakim Azizah.

Menyentuh tentang isu imuniti di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959, Hakim Azizah berkata, Mahkamah Perusahaan berpendapat permohonan Amran bukannya suatu pertikaian industri dan tindakan tatatertib yang diambil terhadap pemohon adalah atas kapasitinya sebagai pekerja dan tiada kena mengena dengan tugasnya sebagai Pengerusi NUJ ketika itu.

Hakim Azizah juga berpendapat, permohonan Amran tiada merit dan menolaknya dengan kos RM3,000 dibayar kepada UMMB.

Amran, 41, memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman itu pada 12 Januari lalu dengan menamakan UMMB dan Mahkamah Perusahaan sebagai pihak responden kerana dipecat oleh syarikat itu pada 3 September 2009.

Sebelum diberhentikan, Amran telah diberi surat tunjuk sebab dan siasatan dalaman (DI) dijalankan atas tiga pertuduhan salah laku kerana mengeluarkan kenyataan memfitnah pengurusan syarikat melalui tiga artikel yang disiarkan Malaysiakini dan Harakahdaily berhubung isu ‘tiang gol dan kerja pengubahsuaian pejabat cawangan Pulau Pinang’.

Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Siti Salwa Musa dalam penghakimannya pada 20 Oktober 2017 menyatakan, mahkamah tersebut mendapati kos pembinaan tiang gol dan jaring penghadang tiang gol di padang bola yang sebenar adalah berjumlah RM48,058.29, bukannya RM160,000 atau RM180,000 seperti yang didakwa oleh Amran dalam artikel berke­naan.