Hakim Datuk Akhtar Tahir menetapkan tarikh tersebut hari ini selepas selesai mendengar hujahan lanjut daripada pihak-pihak terlibat berhubung dua isu yang dibangkitkan pada prosiding sebelum ini.

Dua isu dibangkitkan ialah sama ada prinsip undang-undang berkaitan penyalahgunaan kuasa di pejabat awam tidak terpakai apabila Malaysia mempunyai Akta Prosiding Kerajaan 1956 dan Puncak Niaga selaku plaintif perlu memperjelaskan mengenai maksud penjawat awam.

Dalam penghujahan tersebut, peguam S. Gopal yang mewakili Puncak Niaga berkata, interpretasi 'penjawat awam' yang dihujahkan oleh pihak defendan menggunakan Akta Prosiding Kerajaan 1956 dan Akta Tafsiran 1967 tidak boleh diguna pakai berikutan sudah ada Undang-Undang Lazim terkini yang boleh disandarkan.

Sementara itu, Penasihat Undang-undang kerajaan negeri Selangor, Datuk Nik Suhaimi Nik Sulaiman yang mewakili kerajaan negeri tersebut ketika berhujah menjelaskan, Akta Tafsiran terpakai untuk mendefinisikan penjawat awam berikutan tuntutan plaintif melibatkan dakwaan ‘salah guna jawatan awam’.

“Perdana Menteri mahupun Menteri Besar tidak termasuk dalam kategori penjawat awam kerana jawatan mereka bukanlah diwujudkan di bawah perkhidmatan awam seperti didefinisikan dalam Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan,” ujarnya.

Abdul Khalid memfailkan permohonan untuk membatalkan saman itu pada 27 November tahun lalu atas alasan antara lain pada masa material, beliau bukan seorang ‘pegawai awam’ di bawah undang-undang relevan seperti Akta Prosiding Kerajaan 1956 dan Akta Tafsiran 1948.

Beliau turut mendakwa tuntutan plaintif tidak mendedahkan sebarang kausa tindakan yang munasabah, remeh atau menyusahkan dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah kerana beliau telah menamatkan tugas sebagai menteri besar Selangor pada 23 September 2014.

Pada 27 Oktober tahun lalu, Puncak Niaga telah memfailkan saman terhadap Abdul Khalid; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan kerajaan negeri Selangor yang didakwa menyalahgunakan kuasa mereka.

Syarikat itu mendakwa Abdul Khalid dan Mohamed Azmin menyalahgunakan kuasa mereka dengan mengancam untuk menyebabkan atau memohon atau cubaan untuk menyebabkan Kerajaan Persekutuan menggunakan Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA) 2006 bagi memaksa pengambilalihan industri perkhidmatan air di Selangor. - UTUSAN ONLINE