Peguam K. Murali yang mewakili Bee Yin memberitahu pemberita, tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad ketika pengurusan kes itu di kamar hakim hari ini.

Menurut beliau, mahkamah mengarahkan supaya kedua-dua pihak yang terlibat dalam kes saman tersebut supaya melihat sebarang kemungkinan untuk tuntutan tersebut diselesaikan.

“Sehubungan itu, pihak kami dan peguam Mohd. Fauzi Abdul Samad yang mewakili Jamal perlu memaklumkan kepada mahkamah sama ada tuntutan ini dapat diselesaikan pada tarikh tersebut atau perlu meneruskan dengan perbicaraan,” ujar Murali.

Beliau berkata, sekiranya pihak-pihak terlibat gagal menemui jalan penyelesaian, perbicaraan akan didengar pada 20 dan 21 September ini.

Ahli Parlimen DAP, Bakri, Johor itu memfailkan saman itu pada 14 Jun tahun lalu bagi menuntut ganti rugi RM5 juta daripada Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia yang dinamakan sebagai pihak defendan.

Menurut penyataan tuntutan, Bee Yin selaku pihak plaintif mendakwa pihak defendan telah mengeluarkan pernyataan berbaur fitnah pada 21 Mac 2017 dan kenyataan tersebut telah disiarkan di beberapa akhbar dan portal berita serta diterbitkan di laman sosial Facebook milik Jamal.

Kenyataan itu antara lain memberikan gambaran Bee Yin telah menyalah guna dana awam untuk kegunaan peribadi dan merupakan seseorang yang tidak mempunyai etika serta tidak boleh dipercayai.

Selain ganti rugi am sebanyak RM5 juta, plaintif memohon ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah injunksi bagi menghalang defendan atau ejennya mengulangi pernyataan tersebut dalam apa jua cara. -UTUSAN ONLINE