RAY IMRAN
RAY IMRAN

Hakim Syarie, Sa­lehan Yatim memutuskan demikian selepas berpuas hati dengan semua dokumen, keterangan lisan dan hujahan bertulis yang telah dikemukakan oleh kedua-dua pihak.

“Mahkamah ber­puas hati dengan ke­terangan kedua-dua pihak, saksi-saksi serta dokumen-dokumen yang diserahkan selain pernikahan tersebut menggunakan wali ha­kim dan juga saksi.

“Mahkamah de­ngan ini mensabitkan bahawa pernikahan kamu berdua pada 10 Januari 2013 di Majlis Agama Islam Wilayah Songkla, Thailand adalah sah mengikut hukum syarak,” katanya dalam penghakiman di sini hari ini.

Serentak dengan itu, Salehan turut mengarahkan Joy, 30, dan Ray Imran atau nama penuh­nya, Datuk Mohd. Rayos Abdul Rahim, 46, agar mendaftarkan pernikahan mereka di Pejabat Agama Islam Daerah Petaling Jaya dengan segera.

Joy yang juga pengasas produk Merve Kosmetik diwakili peguam syarie, Aznor Suhaida Dollah, manakala Ray Imran hadir tanpa peguam. Hasil perkahwinan pasa­ngan itu dikurniakan seorang anak lelaki, Muhammad Arryan Firdaus yang kini berusia tiga tahun.

JOY REVFA
JOY REVFA

Bulan lalu, media melaporkan per­kah­winan Joy dan penyanyi, Hafiz Hamidun, 33, beranta­kan apabila Hafiz mendakwa usahawan kosmetik itu masih lagi isteri kepada Ray Imran ke­rana status perceraian me­reka yang didakwa berlaku melalui aplikasi WhatsApp dua tahun lalu adalah meragukan.

Terdahulu dalam prosiding, seorang saksi Mohd. Zarif Mohd. Amin, 26, yang juga adik lelaki Joy memberitahu, dia mengetahui bahawa kakaknya bernikah dengan Ray Imran di Songkla, Thailand pada tarikh tersebut.

“Saya tahu mereka bernikah tetapi tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan di Malaysia,” katanya dalam soalan balas Salehan.

Sementara itu, Aznor Suhaida ketika ditemui pemberita memberitahu, pihaknya akan memfailkan permohonan pengesahan penceraian antara Joy dengan Ray Imran dalam masa terdekat.

“Hari ini mahkamah telah mengesahkan pernikahan anak guam saya dengan Ray Imran adalah sah dan langkah seterusnya adalah untuk memfailkan pengesahan penceraian mereka dalam masa terdekat,” katanya.