Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kesemua mereka dituduh di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Mengikut seksyen berkenaan, tertuduh berhadapan dengan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

"Mahkamah membenarkan kesemua tertuduh masing-masing diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 7 Januari depan untuk sebutan kes,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Terdahulu, lapan lelaki ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes merusuh di sebuah bengkel kereta di Taman Putra Perdana, Puchong, Sepang dekat sini pada minggu lalu.

Difahamkan, pergaduhan melibatkan pekerja dan pelanggan yang tidak berpuas hati mengenai upah membaiki kenderaan.

Tidak puas hati mengenai pembayaran itu menyebabkan pertengkaran kedua-dua pihak yang kemudiannya merebak kepada pergaduhan sebelum mangsa diserang suspek dengan parang dan pemadam api. - UTUSAN ONLINE