Hakim Datuk Ahmad Bache menetapkan tarikh tersebut selepas pihak defendan yang diwakili peguam Saha Deva Arunasalam tidak hadir ke mahkamah.

Peguam pihak plaintif, Zaidan Ali berkata, pendengaran bantahan daripada pihak defendan berhubung satu injunksi yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kota Bharu pada 19 September lalu adalah dijadual pada hari ini.

“Mahkamah sebelum ini mengeluarkan satu injunksi agar penduduk Orang Asli tidak membuat sekatan tersebut. Jadi hari ini pihak defendan dijangka hadir ke mahkamah berhubung injunksi tersebut.

“Bagaimanapun kami dimaklumkan peguam defendan (Saha Deva) berada di luar negara. Hakim kemudian menetapkan 18 Oktober depan sebagai tarikh untuk perbicaraan kes saman M7 Plantation Sdn. Bhd. terhadap defendan (Mustafa Along) berhubung sekatan yang dilakukan pihak mereka,” katanya ketika ditemui selepas prosiding tersebut.

Terdahulu, dalam kes berasingan, Mustafa turut memfailkan satu tuntutan di Mahkamah Majistret Gua Musang dengan menamakan kerajaan negeri Kelantan; Pengarah Jabatan Perhutanan negeri, Datuk Zahari Ibrahim; Pengarah Tanah dan Galian negeri, Datuk Zamri Ismail serta dua syarikat, KPG Maju Enterprise Sdn. Bhd dan M7 Plantation Sdn. Bhd sebagai responden-responden.

Tuntutan tersebut dibuat selepas Orang Asli mendakwa kemungkinan akan timbul ketidaktenteraman berhubung operasi merobohkan sekatan yang dilakukan pihak berkuasa pada 28 Ogos lalu.

Dalam insiden tersebut, kira-kira 400 pegawai dan anggota terdiri daripada petugas Jabatan Perhutanan, polis, Pejabat Tanah dan Galian, Angkatan Pertahanan Awam dan beberapa agensi lain merobohkan halangan di Pos Tohoi, Pos Bihai dan Pos Pasik, Gua Musang. - UTUSAN ONLINE