Hakim Abu Bakar Manat menetapkan 17 hari perbicaraan antara 5 Februari dan 22 Mac tahun depan untuk membolehkan pihak pembelaan memperkemas semua urusan sebagai persediaan bagi perbicaraan itu berikutan permohonan penangguhan mereka.

“Sebaik tarikh perbicaraan ditetapkan, mahkamah tidak akan melayan sebarang penangguhan lagi kecuali jika berbangkit keadaan yang genting. Oleh itu masa yang mencukupi diberikan bagi semua perkara (mengenai kes ini) untuk diselesaikan,” katanya.

Pada 28 Februari lalu, Abu Bakar telah menetapkan 16 hari perbicaraan antara 4 Julai dan 25 Ogos tahun ini.

Tertuduh ialah bekas Pengarah JANS, Awang Mohd. Tahir Mohd. Talib, 55, isterinya Fauziah Piut, 52 dan Penasihat Teknikal dan Kejuruteraan Kementerian Kewangan Sabah, Lim Lam Beng, 63, bagi dakwaan pengubahan wang haram RM61.48 juta dan memiliki barang mewah daripada aktiviti haram.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda sehingga RM5 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Peguam PJ Pereira, yang mewakili Awang Mohd. Tahir dan Fauziah, memohon penangguhan kes sekurang-kurangnya enam bulan dari hari ini untuk membolehkan akauntan Awang Mohd. Tahir menyediakan satu laporan pemilikan sejumlah RM30 juta.

Peguam Baldev Singh yang mewakili Lam Beng juga memerlukan masa untuk menyelesaikan perkara berhubung permohonan anak guamnya kepada Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu untuk membawa peguam utama dari Semenanjung bagi perbicaraan itu.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman berkata, pendakwaan sudah bersedia untuk memulakan perbicaraan secepat mungkin, bagaimanapun tidak membantah penangguhan itu.

Tengku Amir Zaki memberitahu mahkamah bahawa pendakwaan akan memanggil 215 saksi untuk memberi keterangan. - BERNAMA