Pengarah Pendakwaan Negeri Selangor, Muhamad Iskandar Ahmad bagaimanapun memaklumkan, jumlah itu mungkin akan berubah bergantung kepada perkembangan perbicaraan tersebut.

Beliau berkata demikian pada sebutan kali pertama kes bunuh tersebut di Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas dipindahkan dari Mahkamah Majistret Sepang pada 30 Mei lalu.

Pada 1 Mac lalu, warga Indonesia, Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam, Doan Thi Huong, 28, dihadapkan buat pertama kali ke Mahkamah Majistret atas tuduhan bersama-sama empat lagi individu yang masih bebas membunuh Jong-nam di Balai Berlepas Lapa­ngan Terbang Antara­bangsa Kuala Lum­pur 2 (KLIA2), Sepang kira-kira pukul 9 pagi, 13 Februari lalu.

Pertuduhan ke atas kedua-dua tertuduh dibuat mengikut Sek­syen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Terdahulu, Hakim Datuk Azmi Ariffin membenarkan permohonan Muhamad Iskandar agar kedua-dua wanita yang sebelum ini didakwa secara berasingan dibicarakan bersama.

Mahkamah turut menetapkan 23 hari untuk perbicaraan iaitu 11 hari pada Oktober dan 12 hari pada bulan November.

Hakim Azmi turut memaklumkan beliau tidak akan merekodkan sebarang pengakuan daripada kedua-dua tertuduh hari ini dan hanya akan berbuat demikian pada hari pertama perbicaraan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memberitahu, pihak­nya tidak berhasrat untuk menyediakan pernyataan saksi pakar sebaliknya hanya akan mengemukakan keterangan langsung.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada permohonan peguam bela, Datuk Naran Singh yang mewakili Thi Huong yang memohon pihak pembelaan dibekalkan dengan pernyataan saksi-saksi pakar sebulan sebelum perbicaraan bermula atau penghujung Ogos.

Ketika ditemui selepas tamat prosiding, peguam bela, Gooi Soon Seng yang mewakili warga Vietnam tersebut mengesahkan pihaknya telah menerima 33 dokumen daripada pihak pendakwaan iaitu 24 daripadanya adalah rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di KLIA2.

Pemangku Duta Indonesia ke Malaysia, Adreano Erwin pula mem­beritahu, adalah perkara biasa bagi seseorang untuk berasa sedih atau sayu apabila ditahan untuk tempoh yang panjang tambahan pula perbicaraan akan datang juga akan mengambil masa lama.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai Siti Aisyah yang dilihat menangis di akhir prosiding.