Peguam Mohd. Hafiz Zainol Abidin yang menyebut bagi pihak peguam bela, Megat Syazlee Mokhtarom memohon tarikh baru perbicaraan pada sebutan semula kes itu di hadapan Majistret Nor Ariffin Hisham hari ini.

“Megat Syazlee masih dalam cuti sakit sehingga 14 Februari depan selepas menjalani pembedahan kerana mengalami kecederaan serius ketika menunggang motosikalnya baru-baru ini,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran tidak membantah permohonan tersebut selepas pihak pembelaan mengemukakan cuti sakit dan memohon tarikh baru untuk sambung bicara kesemua kes yang dihadapi Farid Kamil.

Nor Ariffin kemudian menetapkan 27 Februari serta 13, 14, dan 15 Mac depan untuk perbicaraan.

Pada 16 Januari tahun lalu, Farid Kamil mengaku tidak bersalah atas empat pertuduhan iaitu dua pertuduhan mendatangkan cedera, menggunakan kekerasan jenayah dan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan perkataan kurang sopan di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Sembilan hari kemudian, Farid Kamil turut didakwa menggunakan dadah berbahaya Tetra Hydrocannibol (THC), iaitu ‘11-nor -tetra hydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya pada pukul 4.30 petang, tarikh sama.-UTUSAN ONLINE