S. Sireganathan, 44, didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Jalan Ukay Perdana dekat sini kira-kira pukul 5.30 pagi, 31 Januari lalu.

Di hadapan Mohamad Firdaus Sadina Ali, tertuduh didakwa dengan sengaja mendatangkan cedera kepada isterinya, N. Saraswathi,41, sementara di hadapan Majistret Haslinda A. Raof, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama terhadap anak perempuannya yang berusia 13 tahun.


Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan-timbalan Pendakwa Raya, Alia Sumayyah Amran dan Raihanah Abdul Razak masing-masing mencadangkan jaminan RM6,000 bagi setiap pertuduhan.


Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan dia merupakan penanggung utama keluarga yang perlu menyara dua anak dan seorang isteri.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,200 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan menetapkan 4 dan 18 Mei ini untuk sebutan kedua-dua kes.


Difahamkan, tertuduh bertindak memukul isterinya ekoran berlaku salah faham antara mereka. Anak perempuan tertuduh yang cuba meleraikan pergaduhan itu turut dipukul ketika kejadian. - UTUSAN ONLINE