Tertuduh, Zamri Jusoh, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ke-11, tertuduh didakwa menerima wang daripada pemilik syarikat pembekal barangan alat ganti dan baja, TP Parts & Machinery, Tham Mun Hing melalui akaun milik isterinya, Siti Noor Hiddayah Deraman sebagai upah untuk melakukan sesuatu perkara iaitu membuat perakuan terhadap beberapa dokumen pembekalan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di pejabat Ladang Ketengah Perwira Sdn. Bhd, Kemaman antara 13 Mei 2015 hingga 25 Disember tahun yang sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Zamri memohon agar jumlah jaminan dikurangkan atas alasan datang jauh dari Kemaman dan tidak mempunyai wang.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin; dan

menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Rofiah turut menetapkan 2 Oktober ini untuk sebutan semula kes.-UTUSAN ONLINE