Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Penulis novel Aku Bohsia dakwa karya diciplak, 
diperintah bayar ganti rugi RM100,000

Elias Idris 2
Elias Idris

KUALA LUMPUR 16 Feb. – Tuntutan saman yang difailkan oleh penulis novel Aku Bohsia atas dakwaan karyanya diciplak oleh pelakon dan pengarah, Syamsul Yusof serta bapanya, Datuk Yusof Haslam menjadi penyebab Elias Idris diperintah membayar ganti rugi RM100,000 setelah dia pula didapati memfitnah dua beranak itu dan syarikat Skop Production Sdn. Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datin Azizah Nawawi memutuskan demikian hari ini setelah membenarkan tuntutan balas Syamsul, bapanya dan syarikat mereka apabila mendapati dakwaan Elias telah menjatuhkan integriti, reputasi dan kejujuran mereka sebagai orang yang dikenali dalam industri perfileman Melayu.

Mahkamah turut memerintahkan Elias membayar kos RM40,000 kepada kedua-dua beranak itu dan syarikat mereka.

Hakim Azizah dalam keputusannya berpendapat, anggapan bahawa kata-kata itu berbaur fitnah terhadap mereka kerana Elias selaku pihak plaintif mendakwa, filem itu telah disalin 80 peratus daripada novelnya.

Ini menggambarkan, Syamsul, bapanya dan Skop Production yang dinamakan sebagai pihak defendan tidak mempunyai integriti atau berperilaku hina apabila dikatakan menyalin novel pihak plaintif lalu dijadikan filem mereka.

Persoalan sama ada perkataan berbaur fitnah tersebut merujuk kepada pihak defendan, Hakim Azizah menegaskan, beliau mendapati kedua-dua artikel itu merujuk kepada filem berkaitan ‘Bohsia’ dan dalam industri perfileman Melayu pula merujuk kepada pihak defendan sebagai pengarah, produser dan pengedar filem tersebut.

Pihak plaintif dalam keterangannya semasa disoal balas mengatakan, bohsia adalah merujuk kepada gadis bawah umur 20 tahun bergaul bebas serta turut dikaitkan dengan mat rempit yang terlibat dalam lumba motor yang rendah moral, terlibat dalam najis dadah.

Kedua-duanya (bohsia dan mat rempit) mempunyai masalah yang sama iaitu masalah sosial, nilai-nilai moral yang longgar, terbabit dalam dadah serta minuman keras dan keterangan tersebut sama dengan keterangan pihak defendan.

“Saya berpendapat yang dianggap bahawa bukti ke atas pihak plaintif dan defendan untuk me­nunjukkan bahawa bohsia dan mat rempit adalah maklumat biasa dalam masyarakat kita yang tidak boleh membentuk asas perbandingan antara novel dan filem.

“Saya juga bersetuju dengan defendan bahawa idea-idea mengenai bohsia tidak dilindungi di bawah Akta Hak Cipta 1987 dan tiada sebarang pelanggaran yang sama. Ia adalah isu-isu umum dalam masyarakat kita yang tidak boleh dikatakan eksklusif hanya untuk novel plaintif,” ujar hakim itu.

Katanya, apa yang ada untuk dijadikan perbandingan adalah persamaan dalam kes rogol anak oleh bapa, hubungan anak perempuan dengan ibu, tempat bohsia dan mat rempit berkumpul.

Bagaimanapun ujar hakim itu, beliau berpendapat apa yang dianggap oleh mereka sendiri, tidaklah boleh dikatakan sebagai persamaan besar yang menjurus ke akar umbi novel dan filem tersebut.

Hakim Azizah berkata, beliau mendapati pihak plaintif gagal membuktikan yang pihak defendan telah menciplak novelnya dalam pembikinan filem tersebut dan menolak saman pihak plaintif dengan kos.

Sementara itu, Yusof yang hadir bersama Syamsul ketika ditemui pemberita di luar mahkamah, me­lahirkan rasa bersyukur atas keputusan tersebut kerana tohmahan bahawa pihaknya ‘mencuri’ sebanyak 85 peratus idea penulis novel terbabit telah selesai.

“Kebenaran telah terbukti akhir­nya bahawa dakwaan tersebut tidak benar. Ia adalah tohmahan semata-mata. Saya telah berpengalaman selama 31 tahun manakala Syamsul pula selama 12 tahun,” ujar Yusof.

Syamsul pula berkata, keputusan itu telah membersihkan namanya dan Skop Production.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain