Keputusan itu dibuat Hakim Suzana Hussin pada prosiding hari ini yang ditetapkan untuk mengetahui keputusan representasi yang dihantar oleh peguam Dr. Syed Iskandar Syed Jaafar Al Mahdzar mewakili Abdul Muhaimin Mohd. Muhayeddin, 29, ke Jabatan Peguam Negara, Ogos lalu.

Terdahulu, pada prosiding itu Timbalan Pendakwa Raya, Goh Ai Rene memaklumkan mahkamah bahawa pihaknya telah menerima dan meneliti representasi yang dikemukakan pihak pembelaan dalam kes itu.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memutuskan pada peringkat ini untuk menarik balik pertuduhan ke atas tertuduh dan memohon mahkamah agar melepas tanpa membebaskan tertuduh. 

Pada 18 Mei 2016, Abdul Muhaimin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook dengan profil ‘Adam Mukhriz Muhayeddin’ telah secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada pukul 9.45 pagi, 22 Oktober 2015.

Pautan itu kemudian telah dibaca di sebuah rumah di Blok A, Tingkat 5, Pangsapuri Ampang Mewah, Jalan Mewah 6,  Ampang Jaya dekat sini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya. - UTUSAN ONLINE