Tertuduh, Mohd. Razi Basar, 40, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd. Fauzi Mohd. Nasir.


Bagi pertuduhan pertama, Mohd. Razi yang juga Ketua Unit Ruminan didakwa menerima wang RM1,000 dalam akaun bank miliknya tanpa balasan daripada seorang kontraktor, Mohamad Zakariah Mohamad di sebuah bank di Johor Bahru City Square, Jalan Wong Ah Fook, 21 November 2013. 


Tertuduh didakwa tahu perbuatannya itu ada kaitan dengan tugas rasminya sebagai pegawai yang bertanggungjawab memberikan kerja membekal dan menghantar bahan binaan kandang kambing berjumlah RM9,849.90 kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri. 


Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama dengan menerima RM1,500 daripada kontraktor sama bagi membantu mendapatkan kerja membekal dan menghantar bahan binaan kandang lembu berjumlah RM9,978.40 kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri di lokasi sama, 12 Mei 2014. 


Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa melakukan perbuatan sama dengan menerima RM1,500 daripada kontraktor sama bagi membantu mendapatkan kerja membekal dan menghantar pagar cyclone RM9,996 kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri di lokasi sama, 10 Oktober 2014. 


Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.


Pegawai Pendakwa SPRM, Norsyarina Raizan menawarkan jaminan RM15,000 sebelum dibantah peguam Tan Song Yan yang mewakili tertuduh yang memohon jumlah itu dikurangkan kerana tertuduh mempunyai tanggungan isteri yang tidak bekerja dan tiga anak berusia antara dua hingga tujuh tahun.


Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Januari ini untuk sebutan semula kes. - UTUSAN ONLINE