Chong Min Hiong @ Raymond Chong, 59, pada waktu itu memegang jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penilaian Sebut Harga membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Abu Bakar Manat.

Mengikut pertuduhan, Raymond didakwa telah secara rasuah menggunakan jawatannya untuk memperakukan cadangan pemilikan syarikat JR Enterprise untuk mendapatkan kerja penyelenggaraan segera Jalan Hamad Kitapol, Kilometer (KM) 1.40-KM6.80, Tuaran yang berjumlah RM49,200.

Bapa kepada empat anak itu didakwa telah memperakukan syarikat JR Enterprise yang merupakan milik anaknya, Patrecia Raymond di pejabat JKR Tuaran pada 29 Oktober 2010.

Dia didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 serta boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada SPRM, Rustam Sanip manakala tertuduh yang ditemani isteri serta ahli keluarganya diwakili peguam, Luke Ressa Balang dan Dominic Chew.

Rustam mencadangkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin serta syarat tertuduh perlu menyerahkan pasportnya kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali sementara Dominic memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM8,000 atas alasan tertuduh masih lagi bertugas dan menghidap penyakit darah tinggi.

Dominic turut menjelaskan anak guamnya tidak akan melarikan diri memandangkan tertuduh merupakan rakyat tempatan dan mempunyai keluarga di negeri ini.

Mahkamah kemudian membenarkan Raymond dibebaskan dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin iaitu isterinya selain menetapkan 26 Julai untuk pengurusan kes.