Zainuddin Ibrahim, 55, yang bertugas di Jabatan Kerja Raya (JKR), Kulai didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Jalan Pintas Seelong-Ulu Tebrau, Kulaijaya kira-kira pukul 1 tengah hari, 17 April dan Mei 2016.

Bagi pertuduhan pertama, Zainuddin didakwa menerima seunit telefon bimbit Samsung Galaxy S7 Edge daripada seorang kontraktor manakala bagi pertuduhan kedua, dia didakwa menerima wang tunai RM1,400 daripada kontraktor sama.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsyahrina Raizan, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Azrul Zulkifli Stork.

Terdahulu, Azrul memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan tertuduh mempunyai lima orang anak dan empat daripadanya masih menuntut di universiti.

Hakim Kamarudin Kamsun kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 berserta seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 6 Ogos ini untuk pengurusan kes.