Hakim Johari Hassan menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Sazali Ibrahim, 45, dari Bahagian Pembangunan dan Pengurusan Fasiliti, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan negeri ini yang didakwa melakukan ke­semua pertuduhan itu di Maybank di sini antara 7 Januari 2016 dan 3 Jun 2016.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah menerima wang berjumlah RM4,000 pada 7 Januari 2016 melalui akaun bank miliknya daripada kontraktor, Masyitah Zubir, 37, tanpa sebarang balasan yang diketahuinya mempunyai hubu­ngan dengan kerja-kerja rasminya.

Bagi empat lagi pertuduhan, Sazali didakwa mengulangi ke­salahan tersebut dengan cara yang sama melalui penerimaan wang berjumlah RM1,000 pada 4 Februari 2016 diikuti RM300 (20 April 2016), RM400 (26 April 2016) dan RM300 (3 Jun 2016).

Kesemua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan pertama, Sazali didenda RM4,000 atau penjara tiga bulan; kedua RM1,000 atau penjara dua bulan; ketiga RM300 atau penjara satu bulan; keempat RM400 atau penjara satu bulan dan kelima RM300 atau penjara satu bulan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd. Alif Farhan Hassan manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Shuhaila Ahmad.

Sazali dibebaskan selepas membayar denda tersebut.