Majistret Haslinda A. Raof menjatuhkan hukuman itu selepas Mohd. Khairul Farhan Ismail, 34, mengaku bersalah

terhadap pertuduhan yang dilakukan di syarikat Cinta Impian Mekar Enterprise, Persiaran Pandan 9, Pandan Jaya dekat sini pada pukul 8 malam, 26 Mac 2014.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah memperdayakan penjual karpet, Abid Khan Attai Khan, 37, untuk membeli kereta jenis Naza Sutera secara sambung bayar sehingga mendorong mangsa menyerahkan RM4,000 walhal mangsa tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abdul Razak memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran dengan mengambil kira kes jenayah komersial yang semakin berleluasa.

“Dalam kes ini, mangsa tidak dapat wangnya kembali,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah mengenakan hukuman ringan atas alasan dia kini penanggung utama keluarga dan hanya memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa telah membuat bayaran kepada tertuduh sebanyak RM4,000 melalui Bank Affin.

Selepas mangsa bertanyakan mengenai proses pertukaran hak milik kereta Naza Sutera yang dibeli itu, tertuduh gagal dihubungi. Ekoran itu, mangsa mengesyaki telah ditipu oleh tertuduh dan kemudian membuat laporan polis.

Tertuduh dibebaskan selepas membayar denda.