Bagaimanapun, tertuduh, Shaiful Azman Taha, 39, yang merupakan Pengarah Pusat Khidmat Kontraktor Kementerian Kerja Raya Pahang mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 3 hingga 4 petang di sebuah rumah yang beralamat di nombor 91, Jalan Pelindung Maju, Taman Pelindung Maju, di sini.

Tertuduh didakwa menerima suapan daripada Juruteknik Syarikat NZH Murni Enterprise, Hamdan Mat Hasan sebagai dorongan bagi mengeluarkan Sijil Kontraktor Kerja Taraf Bumiputera (STB) kepada syarikat berkenaan.

Shaiful Azman didakwa di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM 2009) (Akta 694) dan boleh di hukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika disabitkan bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang dari lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Fadhly Mohd. Zamri dan tertuduh diwakili peguam, Mohd. Fauzi Razali.

Hakim menetapkan 28 Februari ini sebagai sebutan semula kes berkenaan. - UTUSAN ONLINE