Zamin Zakaria membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di dua mahkamah berasingan di hadapan Majistret Mohd. Firdaus Saleh dan Teoh Shu Yee. 

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang berusia 40 tahun telah menghalang tugas seorang anggota trafik, Koperal Ishak Deros yang sedang menjalankan tugas rasminya dan mengeluarkan saman terhadap tertuduh.

Tindakan itu dilakukan tertuduh di di hadapan pejabat Pos di di Jalan Laksamana di Melaka Tengah kira-kira pukul 3 petang pada 16 November 2018. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Zamin turut menggunakan perkataan kurang sopan dan menghina iaitu ‘Sial lah kau’ kepada anggota polis terbabit yang berkemungkinan akan memecahkan keamanan pada masa, tempat dan tarikh sama. 

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM100 mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan kecil 1955 (Akta  336).

Tertuduh yang tidak diwakili peguam sebelum itu merayu supaya hukuman terhadapnya diringankan dengan alasan hanya bekerja sebagai penggali kubur dan telah meminta maaf secara peribadi dengan anggota polis berkenaan. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin dan Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal bagaimanapun memohon supaya hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh. 

Mohd. Firdaus kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal bayar bagi pertuduhan pertama manakala Shu Yee memerintahkan tertuduh membayar denda RM60 bagi pertuduhan kedua atau sebulan penjara jika gagal bayar.

Tertuduh kemudian membayar denda tersebut.  - UTUSAN ONLINE