MUHD. AZAHAR SAFIE (kiri) menutup muka selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjual cecair rokok elektronik atau vape yang mengandungi nikotin melebihi had ditetapkan di Mahkamah Majistret, Kota Bharu, Kelantan, semalam. UTUSAN/NOR AFIQAH MAT NOR

Muhd. Azahar Safie, 27, mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki cecair racun jenis nikotin sebanyak 518 mililiter (ml) tanpa diberi sebarang kuasa atau kebenaran yang sah di sebuah premis di Pasar Borong Wakaf Che Yeh, di sini, pada pukul 11.15 malam, 5 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 32(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM3,000 atau kedua-duanya.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Siti Hajar mencadangkan supaya tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Majistret Mohamad Nasruddin Mohamed membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 14 Januari tahun depan.

Tertuduh dibebaskan selepas membayar jaminan tersebut.

Kementerian Kesihatan pada bulan lalu memberi amaran penjualan cecair vape yang mengandungi nikotin hanya boleh dilakukan oleh ahli farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mengikut Akta Racun 1952, penjualan nikotin oleh lain-lain pihak adalah salah di sisi undang-undang.